Thursday, December 23, 2010

Motivasi Kebahagian Jiwa Perasaan: Isteri Solehah

Kehidupan berumahtangga semestinya melalui detik-detik yang selalu indah, manis dan bahagia. Senyuman manis, kata-kata romantis, caring, sikap toleransi dan perasaan cinta mendalam yang sudah terpahat di hati sanubari selalu menjadi penawar segala dukacita, kepenatan dan kelelahan. Kelahiran cahaya mata merapatkan lagi ikatan kasih sayang. Apabila dianugerahkan dengan kesenangan dan kegembiraan hidup, ia sentiasa dilalui dan dinikmati bersama. Begitu juga apabila dihadapkan dengan berbagai kesulitan dan kesusahan, ia tetap dirasai dan ditanggung bersama. Maka, beruntunglah suami atau isteri yang mempunyai pasangan yang berjiwa tabah. Kerana setiap ujian yang menggongcang ketenangan jiwa perasaan walau sebesar ombak tsunami sekalipun, pasti dapat dilalui dengan tenang dan bersabar serta tetap bersyukur kepada Dia yang Maha Agong di atas nikmatNya yang masih tidak ternilai. Dengan ujianlah manusia itu dinilai tahap keimanan dan ketaqwaannya. Dengan ujian jugalah manusia mampu mengenal erti kejayaan dan kegagalan. Dan kejayaan itu adalah suatu yang tersangat indah dan bahagia. Sebaliknya kegagalan pula merupakan suatu kehinaan dan binasa. Manusia yang berilmu dengan dipandu oleh akal waras akan lebih insaf serta memahami bahawa ujianlah suatu pemberian yang berharga dalam kehidupan di dunia fana ini. Kerana mereka memahami bahawa mengecapi kesenangan dan kebahagian hidup adalah suatu ujian yang fitrah. Begitu juga kehidupan untuk mengharungi dan merasai penderitaan dan kepedihan juga merupakan suatu ujian yang fitrah. Malah, memahami bahawa setiap saat dalam kehidupan dunia merupakan suatu ujian dan tidak terlepas daripada kehendak dan ketentuan Ilahi. Apatah lagi dalam arena kehidupan berumahtangga, sudah pasti ujiannnya juga adalah berat sebanding dengan tanggungjawabnya yang amat besar. Walaupun begitu, kejarlah kebahagian yang kekal kerana kehidupan berumahtangga adalah suatu ujian yang memberikan kenikmatan dan keindahan serta kebahagiaan yang tiada terhingga. Kepada sesiapa/ pasangan suami isteri yang sudah merasai menikmatinya akan menganggap bahawa oh inilah kenikmatan dan keindahan surga dunia. Mampukah hidup berseorangan mencapai kenikmatan, keindahan dan kebahagian itu? Kebahagian di dunia juga boleh dianggap sebagai jambatan untuk mencapai kebahagian di alam kekal, akhirat. Maka, segerakanlah mengejarnya, dan ingatlah bahawa nilai kebahagian hidup di dunia yang sebenarnya adalah jiwa perasaan yang sentiasa tenang dan tabah menerima segala ujian. Bukankah Allah S.W.T. mencintai dan redha terhadap hambaNya yang taat, patuh dan akur kepada kehendak dan ketentuanNya...maka, bukan mustahil lagi bahawa kebahagian rumahtangga di dunia membawa kebahagian dan kesenangan di akhirat.

Wahai isteri yang mengalami penderitaan jiwa perasaan! Marilah mengikuti jalan-jalan kebahagiaan jiwa perasaan yang sebenar. Setelah engkau memahami dan menghayati terhadap hakikat ketetapan ujian-ujian kehidupan di dunia serta tujuannya seperti yang dibicarakan di atas, maka renungilah dan hayatilah pula persoalan-persoalan ini untuk mengubati penderitaan jiwa perasaanmu yang sedang membara:

- Benarkah suamimu sangat kasih kepadamu dan sentiasa berusaha tanpa putus asa untuk membina kebahagian bersama?
- Pernahkah engkau menikmati dan mengenal erti kebahagian dan keindahan bersama suamimu?
- Tanya hatimu yang dalam, masihkah engkau mencintai suamimu sepenuh hati dan sentiasa ingin hidup bersamanya selamanya?
- Jika semua jawapanmu adalah ya, kenapakah jiwamu sentiasa gelisah, sedih dan menderita hidup bersamanya?
- Mungkin persoalan yang terakhir, apakah yang sebenarnya engkau ingini untuk mengubati jiwa perasaanmu yang sedang duka lara?

Wahai isteri! Setelah engkau menjawab persoalan-persoalan itu, tidakkah engkau merasa jiwa perasaanmu semakin tenang dan kian terubat? Atau adakah ia semakin kusut dan tiada lagi jalan kebahagiaan untukmu...?

Jika penderitaan jiwa perasaanmu kian terubat, yakinlah bahawa engkah sudah memahami erti dan tujuan kehidupan di dunia serta sudah menghayati tentang hakikat ujian kehidupan dunia dan mempunyai hati yang tabah. Maka, berusahalah untuk membawa jiwa perasaanmu segera keluar dari kesengsaraan dan penderitaan. Sesungguhnya kesedihan dan penderitaan yang menguasai jiwamu selama ini adalah suatu usikan dan tipudaya syaitan. Cuba fahamilah punca sebenar penderitaan jiwa perasaanmu. Doronglah suamimu agar sama-sama menolongmu memahami dan mengatasi punca sebenarnya kerana suami yang baik dan penyayang akan sentiasa memahami dan sanggup bersedia membantumu. Dan binalah semangat dan cita-cita baru dan yakinlah bahawa kebahagiaan adalah menjadi milikmu sekarang. Engkau seorang yang telah berjaya, tahniah! Nikmatilah kebahagianmu yang baru bermula itu.

Sebaliknya, jika suamimu seorang yang baik, mencintaimu dengan sepenuh hati dan bertanggungjawab, tetapi engkau masih lagi ragu-ragu tentang kebahagiaanmu bersamanya dan berasa kusut dan putus asa kerana menganggap bahawa tiada lagi jalan kebahagiaan untukmu, sebenarnya engkau sedang dikuasai dan terpedaya dengan tipudaya syaitan. Cuba fahami! Engkau sebenarnya sudah tersasar dari petunjuk agama, tidak memahami tujuan kehidupan di dunia dan tidak mensyukuri nikmat pemberian Allah yang Maha Esa. Jadi, punca penderitaan jiwa perasaanmu adalah kerana dirimu sendiri. Cubalah Jawab persoalan-persoalan ini dengan jujur:

- adakah jiwa perasaaanmu menderita kerana kehidupan rumahtanggamu yang serba kekurangan?
- Atau adakah kerana keinginanmu yang inginkan kemewahan dan kesenangan hidup tidak mampu diberikan suamimu?
- Atau adakah kerana jiwamu sudah malas, jemu untuk mengejar kebahagiaan dan kesenangan yang sudah kian lama ditunggu tetapi masih belum tercapai?

Kerana itulah punca sebenarnya, sesungguhnya engkau masih ada lagi peluang untuk mencapai impianmu itu. Tetapi jalannya belum tentu lagi senang untukmu. Kerana engkau masih tidak cuba memahami erti dan tujuan kehidupan di dunia. Kebahagian yang sebenar di dunia adalah buat mereka memahami dunia berserta liku-likunya, ujiannya dan berusaha untuk keluar dari segala kesusahan kepada kesenangan dan kebahagiaan. Maka, fikirkanlah dan renungkanlah perkara ini pula:

- Siapakah yang berkuasa memberimu kebahagiaan, kesenangan dan kemewahan hidup?
- Bukankah Dia Tuhanmu yang berkuasa segalanya?

Jadi, engkau pasti sudah mulai sedar dan insafi kekhilafanmu sekarang, Alhamdulillah! Sesungguhnya manusia hanya mampu berharap dan merancang apa yang telah ditentukan dan kekehendaki oleh Allah S.W.T buatnya. Segala penentuan terhadap segala impian dan perancangan manusia adalah milik Allah S.W.T yang mutlak. Maka, kembalilah kepadaNya dengan hati yang penuh keinsafan dan takut, nescaya kebahagian akan mula menyinari jiwa perasaanmu. Dan kembalilah mendapat kebahagiaan daripada suamimu yang tercinta, engkau tetap dicintainya dengan sepenuh hati...dan mulailah penghidupan baru, binalah impian baru... dan bantulah suamimu untuk mencapai impianmu.